AYER KEROH – Sri Pengkalan Binaan Sdn Bhd (SPB Property) merekodkan nilai 72 peratus dalam Sistem Penilaian Kualiti untuk Kerja Pembinaan Bangunan (Qlassic) sekaligus menjadikan penskoran itu paling tinggi di Melaka setakat ini.

Pemarkahan itu diperolehi selepas Lembaga Pembangunan Industri Pembinaan Malaysia (CIDB) membuat penilaian awal tahun ini dan ia adalah sebahagian daripada strategi syarikat pemaju itu untuk memastikan kualiti hartanahnya memenuhi tahap ‘zero defect’ atau kecacatan sifar.

Pengarah Eksekutif SPB, Datuk Jacky Yap berkata, sejak penubuhan syarikat pada tahun 1981, pihaknya sentiasa mementingkan kualiti dalam pembinaan hartanahnya.

Ujarnya, syarikat pemaju itu dbarisi dengan pasukan yang mantap termasuk dari bahagian kawalan kualiti yang sentiasa mengikut prosedur operasi standard (SOP) ditetapkan kerajaan selain pasukan penilaian berpengalaman bagi memastikan pembinaan mengikut cara betul. Sijil Qlassic

“Paling penting pada bahagian kontraktor yang mana mereka mempunyai pengetahuan luas serta kemahiran yang tinggi untuk menghasilkan pembinaan berkualiti.

“Ia adalah kerjasama daripada semua pihak yang mementingkan kualiti bagi memastikan matlamat syarikat untuk menyediakan hartanah ‘zero defect’,” katanya ketika ditemui MHI di pejabat CIDB Melaka.

Sehubungan itu, Jacky berkata, bagi mendapat penilaian tahap hasil kerja binaan yang tinggi, pihaknya menjalani Qlassic bagi menjamin kualiti binaan tersebut.

Ujarnya, syarikatnya memerlukan badan penilai yang adil, yang terdiri daripada agensi kerajaan sendiri, sebab itu projek hartanah dijalankan bersedia untuk dinilai.

“Di samping itu, kita merupakan pemaju pertama yang memperkenalkan program Pra-Pemeriksaan Pra-Perakuan Siap dan Pematuhan (Pre-CCC) kepada pembeli. “Hasilnya, projek Taman Nuri di Durian Tunggal berjaya mencapai 60 peratus rumah ‘zero defect’ yang diserah kunci manakala 40 peratus lagi mempunyai kecacatan kurang daripada 10 kerosakan.

“Kita juga mencapai 100 peratus maklum balas yang positif daripada pembeli ketika penyerahan kunci malah tiada sebarang aduan diterima,” katanya.

Sementara itu, Pengarah CIDB Negeri Melaka, Nur Iskandar Zulkefli berkata Qlassic dinilai mengikut Standard Industri Pembinaan (CIS 7) yang melibatkan pelbagai elemen termasuk kemasan (finishing); penyelarasan dan keseimbangan; kerosakan dan fungsi.

“Dalam industri pembinaan, kualiti perlu dititikberatkan kerana ia menjadi hak pengguna untuk memastikan rumah yang didiami itu benar-benar selamat, bukan sekadar syarikat pemaju membuat rumah untuk mengejar tempoh pembinaan atau sekadar buat kerja sahaja.

“Jadi, dengan adanya pemarkahan Qlassic, penilaian itu boleh membantu syarikat pemaju untuk memastikan hartanah yang dijual menepati kualiti yang ditetapkan selain memuaskan hati pembeli.

“Ia adalah satu bentuk promosi kepada pemaju untuk menarik lebih ramai pembeli untuk mendapatkan hartanah yang diberi penilaian dan diiktiraf melalui penilaian oleh kerajaan,”katanya.

Beliau berkata hasil pemarkahan yang tinggi mampu menjadi penanda aras kepada syarikat pemaju untuk menyiapkan hartanah lebih berkualiti.

Katanya, sehingga Mac tahun ini iaitu sebelum Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dilaksanakan, sebanyak lima hartanah telah dibuat penilaian dan SPB adalah syarikat pemaju yang meraih skor tertinggi.

“Keputusan pemarkahan Qlassic diberikan pada Mac selepas penilaian dibuat sejak Januari tahun ini,”katanya. Untuk maklumat lanjut, boleh melayari www.spb-property.my atau menghubungi talian 012-6258003.

Reference: https://www.melakahariini.my/spb-property-taman-nuri-raih-qlassic-kualiti-skor-tertinggi-di-melaka

 

NEWSLETTER

Keep in touch with the latest updates from SPB by signing up for our newsletter.

Comments are closed.